Oleh Gaddafi Musli

Kuala Lumpur: Portal berita akhbar Harian Metro (HM) yang boleh dilayari menerusi pautan www.hmetro.com.my mengukuhkan kedudukan selaku peneraju laman berita di Malaysia berdasarkan laporan suku pertama 2015 yang dikeluarkan firma pengukur dunia digital ComScore Inc.

Berdasarkan data ComScore, laman berita HM atau lebih dikenali sebagai myMetro mencatat 8 juta pelayar unik (UV).

Statistik berkenaan juga menunjukkan tontonan laman (PV) sebanyak 121.7 juta merangkumi pelayar yang mengunjungi laman web menggunakan komputer, telefon pintar dan tablet bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Sementara itu, data Google Analytics pula menunjukkan myMetro memperoleh 19.2 juta UV, meningkat 150 peratus berbanding 7.7 juta UV bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 69 peratus pelayar terdiri daripada pengguna telefon pintar manakala 22 peratus lagi menggunakan komputer dan selebihnya peranti tablet (9 peratus).

Di laman sosial, peminat Facebook (FB) myMetro kini mencatatkan 2.480 juta ‘likes’ dengan majoritinya (39 peratus) terdiri daripada pengguna berumur antara 25 hingga 34 tahun berdasarkan laporan FB Analytics.

Akaun Twitter rasmi HM (@hmetromy, @GlobalHM, @ArenaHM dan @TekLabHM) pula mempunyai 418,886 pengikut.

Bagi segmen video, myMetro TV yang kini mempunyai 56,717 langganan pengguna YouTube mencatat tiga juta tontonan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini menjadikan jumlah tontonan 67.1 juta sejak dilancarkan pada Disember 2009 menurut data YouTube Analytics.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 9:56 AM