Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Jitra: Kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran membina 40,000 unit kediaman menjelang 2018 selepas 28,081 unit kediaman termasuk rumah kos rendah dan mampu milik berjaya dibina sejak dua tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, permintaan terhadap kediaman di negeri itu adalah tinggi terutama membabitkan rumah kos rendah dan mampu milik.

“Ia berikutan kebanyakan penduduk di negeri ini dalam kalangan yang berpendapatan rendah.

“Sehubungan itu, kita meletakkan sasaran 40,000 unit rumah bakal dibina dan kini, kita sudah mencapai separuh sasaran dengan lebih 20,000 kediaman dalam proses pembinaan dan ada sudah berjaya diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pada sidang media selepas melancarkan Taman Tunku Intan Safinaz (TTIS) dan upacara pecah tanah masjid TTIS, semalam.

Ia adalah projek milik Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) melalui anak syarikat, BDB Land Sdn Bhd, semalam.

Mukhriz berkata, kebanyakan projek perumahan dilaksanakan di negeri itu membabitkan syarikat pemaju swasta, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), FELDA dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:15 AM