SAMPAH dibuang di kawasan papan tanda larangan.
Oleh Iskandar Shah Mohamed

Kajang: Biadab dan tiada kesedaran sivik. Itu tabiat buruk segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang sewenang-wenang membuang sampah secara haram di beberapa taman perumahan di sekitar daerah ini termasuk di bahu jalan, kawasan lapang dan berdekatan premis perniagaan.

Keadaan itu bukan saja menyakitkan mata memandang, malah dikhuatiri turut mengundang risiko penyakit berbahaya antaranya penularan wabak denggi kepada penduduk setempat.

Selain pencemaran bau, sampah merangkumi kayu, bahan plastik dan polistirena itu seolah-olah sengaja dibakar hingga mengeluarkan asap tebal serta busuk sekali gus turut menyebabkan berlaku pencemaran udara.

Lebih teruk apabila ada daripada pihak yang ‘buta’ undang-undang itu masih membuang sampah-sarap di lokasi haram walaupun papan tanda larangan sudah diletakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan terbabit.

Tinjauan Metro Ahad di Bandar Mahkota Cheras, Bandar Sungai Long dan Bandar Tun Hussein Onn mendapati longgokan sampah kebanyakannya dibuang di bahu jalan antaranya bungkusan plastik, bekas makanan polistirena, sofa, tilam dan kayu.

Kakitangan swasta, Rhoma Ghazali, 30, berkata, dia yang kerap berulang-alik menuju ke tempat kerjanya di ibu negara rimas melihat kawasan pembuangan sampah haram di laluan utama di Bandar Mahkota Cheras.

“Saya pelik mengapa sampah itu dibuang di bahu jalan laluan utama sedangkan tong sudah disediakan di rumah mereka atau premis perniagaan. Selain mengeluarkan bau busuk terutama selepas hujan, sampah berkenaan turut menjadi makanan kepada anjing liar yang menyelongkarnya.

“Bukan hanya menjijikkan, ia dibimbangi turut menjadi ikutan kepada penduduk lain yang sekali gus menjadikan kawasan berkenaan semakin teruk dipenuhi sampah haram,” katanya yang menetap di situ sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, dia menyedari masalah itu sejak lebih seminggu lalu tetapi masih tiada usaha pembersihan dilakukan dan berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan lanjut.

“Saya tidak pasti perbuatan itu dilakukan penduduk setempat atau pihak luar tetapi pihak berkuasa patut membuat sesuatu supaya pembuangan sampah di tapak haram itu tidak berulang,” katanya.

Bagi suri rumah, Ruslina Mahusin, 50, walaupun PBT sudah meletakkan papan tanda larangan dan melakukan usaha pembersihan, dia kesal kawasan itu masih dipenuhi sampah haram dan menjadi takungan air.

“Selain mementingkan diri sendiri, perbuatan mereka mendatangkan risiko bahaya kepada penduduk kerana menyebabkan air bertakung sekali gus berkemungkinan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Ada daripada mereka turut membakar sampah haram itu sehingga menyebabkan pencemaran udara.

“Pihak berkenaan sepatutnya menghormati undang-undang sedia ada dan tidak bersikap biadab seumpama itu. Sampah yang ada perlu dibuang di tempat yang sepatutnya dan bukan menyusahkan orang lain,” katanya.

Menurutnya, masyarakat tidak boleh mengharapkan penyelesaian daripada pihak berwajib semata-mata, sebaliknya bekerjasama menjadi mata dan telinga untuk melaporkan kegiatan membuang sampah di kawasan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:20 AM