ANTARA awak-awak yang didakwa di mahkamah, semalam.
Oleh Ibrahim Isa

Kota Tinggi: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terpaksa menggunakan jurubahasa Sepanyol dan Perancis apabila 13 daripada 47 anak kapal dan kapten dua kapal warga asing tidak memahami bahasa Inggeris dan Melayu ketika dihadapkan atas tuduhan memunggah ikan tanpa kebenaran Jabatan Perikanan di Tanjung Penyusop, Sungai Rengit, dekat sini, awal Mei lalu.

Tertuduh yang terdiri daripada enam warga Chile yang berbahasa Sepanyol dan tujuh warga Senegal berbahasa Perancis hanya membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam dua bahasa itu.

Terdahulu, 34 lelaki warga Singapura, Indonesia, Bangladesh dan India mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan dihadapi di depan Hakim Salawati Djambari.

Semua lelaki lingkungan 30-an hingga 50-an itu dituduh mengikut Seksyen 20 Akta Perikanan 1985 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika memunggah ikan tanpa kebenaran Jabatan Perikanan di Tanjung Penyusop, Sungai Rengit, 9 Mei lalu.

Sembilan daripada 47 nelayan itu adalah awak-awak dan kapten bot tunda serta tongkang Asia Link yang menerima ikan daripada kapal FV Perlon dalam kejadian pada jam 1.18 petang itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya APMM Juanita Mohd Said manakala pembelaan dilakukan peguam Bernard George.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20 Akta Perikanan 1985 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan seorang kapten atau pemilik kapal boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak boleh didenda RM100,000 seorang.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM50,000 bagi setiap seorang, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dua penjamin warga tempatan.

Selain itu, beliau menetapkan 8 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes anak kapal dan kapten bot tunda serta tongkang Asia Link manakala 2 Julai untuk awak-awak dan anak kapal PV Perlon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 10:14 AM