AFIDIL menunjukkan kimpalan basah di dasar laut.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Terputus bekalan oksigen, terdedah kepada serangan ikan yu dan renjatan elektrik antara risiko yang bakal dihadapi seorang penyelam komersial ketika melakukan tugasan kimpalan di dasar laut.

Dengan kemahiran yang ada termasuk pengalaman ketika mengikuti kursus bersama badan antarabangsa selama tiga bulan sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesan risiko terhadap pekerjaan yang akan dilakukan.

Secara umumnya, latihan membabitkan Underwater Wet Welding adalah untuk melahirkan tenaga berkemahiran dalam bidang penyelenggaraan dan memperbaiki struktur kapal, pemasangan paip dan carigali minyak gas.

Bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku ketika menjalankan tugas kimpalan di dasar laut, setiap pengimpal perlu mempunyai hubungan komunikasi yang baik dengan rakan setugas di atas kapal.

Seorang penyelam komersial, Afzanizam Mohd Suri, 39, berkata, komunikasi yang baik dapat mengelakkan jurukimpal dasar laut daripada terdedah kepada risiko bahaya ketika menjalankan tugas.

“Apapun yang penting faktor keselamatan perlu diutamakan dan perlu ada hubungan komunikasi baik antara penyelam dan juga rakan di atas kapal.

“Biasanya untuk membolehkan operasi kimpal dapat dilakukan, suis dikenali sebagai ‘knife’ berfungsi dalam menyalurkan bekalan elektrik,” katanya.

Katanya, sebagai isyarat, pengimpal akan menyebut perkataan ‘hot’ seterusnya membolehkan suis knife dihidupkan dan membolehkan kerja mengimpal kapal dapat dilakukan di dasar laut.

“Ketika itu kami (pengimpal) sudah bersedia dengan alat dan berada di lokasi untuk melakukan kerja mengimpal.

“Apabila kami sebut perkataan ‘hot’ barulah ia boleh terbakar,” katanya yang berasal dari Permas Jaya, Johor.

Menurutnya, risiko renjatan elektrik berlaku setiap kali melakukan kerja kimpalan di dasar laut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 9:18 AM