MOHD Roslan (tengah) melihat barang tiruan kelengkapan pintu jenama PYRO di KPDNKK.
MOHD Roslan (tengah) melihat barang tiruan kelengkapan pintu jenama PYRO di KPDNKK.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Sebanyak 80,000 unit barangan kelengkapan pintu berjenama tiruan dianggarkan bernilai RM2.46 juta dirampas dalam operasi oleh sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sebuah gudang di Sungai Buloh, Selangor pada 5 Jun lalu.

Barangan kelengkapan pintu yang menggunakan cap dagang Pyro itu bukan saja menggunakan pek pembungkusan hampir sama, sebaliknya turut memasarkan rangkaian produk sama yang dipasarkan produk jenama asli.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata, antara barangan tiruan dirampas termasuk pintu rintangan api dan engsel.

Beliau berkata, pihaknya melakukan serbuan berkenaan selepas menerima aduan daripada Doretti Resources Sdn Bhd iaitu pemilik cap dagang Pyro mengenai penjualan produk tiruan berkenaan.

“Menerusi aduan dibuat, pengadu mendakwa pihak berkenaan mengimport barangan tiruan itu dari negara luar sebelum memasarkannya di negara ini.

“Hasil pemantauan mendapati, barangan tiruan itu dijual bersama-sama barangan asli kerana fizikal, bentuk dan pembungkusannya yang hampir sama selain dijual pada harga yang menyamai produk asli,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun manakala bagi syarikat pula boleh didenda RM15,000 bagi setiap barang yang dirampas,” katanya.

Mohd Roslan berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana premis atau individu yang didapati menjual produk tiruan secara pengedaran, penjualan di premis atau secara atas talian.

Menurutnya, Akta Perihal Dagangan 2011 adalah peruntukan undang-undang bagi memastikan barangan tiruan tidak dijual secara berleluasa, seterusnya melindungi hak harta intelek.

Dalam perkembangan lain, Mohd Roslan berkata, beliau menafikan pegawai penguatkuasanya ‘pilih kasih’ dalam setiap operasi yang dilaksanakan terutama bagi operasi rampasan barangan tiruan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Menurutnya, ia terbukti apabila pihaknya sudah melakukan lima kali operasi rampasan barangan tiruan di Jalan Petaling setakat ini selain 10 operasi tahun lalu membabitkan sitaan barangan berjumlah RM243,580.

“Antara barangan yang disita termasuk beg tangan, tali pinggang, dompet kulit, cermin mata dan jersi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 9:47 AM