Mariappan menunjukkan dua daripada tujuh tikus yang dijerat dalam tempoh kurang lima minit selepas perangkap tikus dipasang di Pasar Pudu, Jumaat lalu.

Kuala Lumpur: Pasar Borong Selayang dan Pasar Chow Kit antara lima lokasi pasar awam di ibu negara yang dilabel sebagai tempat pembiakan tikus dan dikhuatiri boleh terdedah kepada risiko penyakit pembawa maut, Leptospirosis atau kencing tikus.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mariappan Chinniah berkata, tiga lagi pasar awam terbabit ialah Pasar Pudu, Pasar Sentul dan Pasar Keramat.

“Kami jalankan operasi menangkap tikus (di pasar-pasar itu) lima kali seminggu dan sehari kami guna lebih 50 perangkap tikus dan kebiasaannya penuh,” katanya.

Mariappan berkata, dalam tempoh sebulan, pihaknya berjaya menangkap 6,000 tikus di kelima-lima pasar tersebut dengan purata tangkapan sehari di setiap pasar boleh mencecah 50 tikus.

Jumlah itu, katanya, tidak pernah berubah lebih lima tahun lalu.

Malah, katanya, pasar ini juga sarang tikus membiak dengan wujudnya puluhan lubang tikus yang aktif dikesan.

Mariappan berkata, populasi tikus lebih aktif di kawasan pasar dan bukan di rumah, lebih-lebih lagi di pasar yang persekitarannya tidak terurus dan kotor.

“Faktor utama menyumbang kepada kehadiran tikus yang banyak di pasar ialah air, sisa makanan serta tempat perlindungan seperti lubang di dalam longkang,” katanya.

Wartawan yang mengikuti operasi Jabatan Kesihatan Persekitaran DBKL menangkap tikus di Pasar Pudu pada Jumaat lalu terkejut apabila dalam tempoh kurang lima minit selepas perangkap diletakkan dengan umpan isi kelapa, tujuh tikus berwarna perang dan bersaiz sederhana masuk jerat.

Operasi yang berlangsung tiga jam itu memerangkap lebih 30 tikus pelbagai saiz.

Mariappan berkata, DBKL kerap menjalankan operasi kawalan tikus untuk menjadikan kawasan ini sifar tikus, tetapi semuanya bergantung kepada sikap peniaga dan penjaja.

Beliau turut menjelaskan operasi kawalan tikus di kawasan pasar merupakan tugas yang paling sukar kerana penggunaan racun tikus tidak boleh dilaksanakan kerana dikhuatiri memberi kesan kepada makanan yang dijual. -BERNAMA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 9:12 AM