SAWANIAH menunjukkan lokasi dia disamun anak saudaranya di Kampung Desa Jemapoh.
AZMI (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.
Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Muka ditekan ke lantai manakala kepala diketuk dengan objek keras. Itu kejahatan seorang lelaki terhadap ibu saudaranya apabila tergamak merompak wanita itu sebelum diberkas di ladang sawit Kampung Desa Jemapoh, di sini, kelmarin.

Kejadian pada jam 8 pagi mengakibatkan mangsa [email protected] Idris, 78, cedera di kepala selepas suspek berusia 44 tahun turut menutup mulut warga emas itu menggunakan kain batik.

Sawaniah berkata, sebelum kejadian dia sedang menyapu sampah di halaman rumah, namun secara tiba-tiba mulutnya ditekup dari belakang.

“Saya sempat melawan dan menjerit, namun dia menolak dan menyembamkan muka saya ke lantai.

“Tindakan anak saudara menyebabkan kepala saya cedera dan hanya beberapa minit dia merentap rantai, gelang tangan dan subang emas bernilai RM14,000.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia mengacu parang dan meminta saya senyap. Kedua-dua tangan saya diikat menggunakan wayar telefon,” katanya.

Menurutnya, suspek memakai topeng meluru masuk ke dalam rumah untuk mengambil barang berharga namun melarikan diri sebaik menyedari dia berjaya membuka ikatan.

“Dia berlari memanjat pagar dan saya bergegas ke rumah jiran meminta bantuan menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah bergegas ke lokasi persembunyian suspek di ladang sawit sejurus menerima panggilan penduduk jam 9.37 pagi.

Beliau berkata, suspek diberkas dan pemeriksaan menemui parang termasuk barang kemas milik mangsa disembunyikan dalam ladang sawit serta sebuah kereta.

“Ketika ditahan, suspek menukar pakaian bagi mengaburi polis. Polis menjumpai barangan hasil samun seperti kad bank, barang kemas, jam tangan dan peralatan pecah rumah dalam kereta sewanya

“Suspek berusia 44 tahun bergiat aktif dalam kes samun di sekitar daerah ini. Rekod menunjukkan suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk dadah serta dikehendaki polis,” katanya.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:26 AM
Skip this ad x