Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Abd Aziz Abdullah (tengah) melawat mangsa yang dirawat di HRPZII.

Kota Bharu: Tindakan berani seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun bermain mercun buatan sendiri menggunakan ‘starter’ lampu mengundang padah apabila empat hujung jarinya kecuali kelingking parah selain cedera tapak tangan kanan di Kampung Kubang Palas, Wakaf Bharu, Tumpat, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa pertama di negeri ini, Muhammad Rizaimie Zamri bermain bersama tiga rakan di masjid berdekatan rumahnya dan dikatakan tidak sempat melempar mercun itu sebelum meletup dalam genggaman tangan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HRPZ II) oleh bapa saudaranya untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Ibu mangsa, Che Rosmaini Che Sulaiman, 38, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu keluar rumah sebaik berbuka sementara dia berada di rumah.

Menurutnya, beberapa minit kemudian dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari sebelah rumahnya.

“Saya menyangka budak kampung bermain mercun, namun sangkaan itu meleset sebaik jiran memaklumkan anak saya cedera parah terkena mercun.

“Saya yang terkejut bergegas turun dan melihat anak menangis menahan kesakitan dan tangan berbalut dengan kain sudah menaiki kereta untuk dibawa ke HRPZ II oleh abang saya,” katanya.

Katanya, dia tidak menyangka anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Bharu dan akan menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) cedera terkena mercun.

“Sebelum ini, ketika melihat anak bermain mercun, saya melarangnya kerana bimbang mendatangkan kecederaan,” katanya.

Bapa mangsa, Zamri Hasbullah, 43, pula berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana berbuka di rumah saudaranya di Pasir Mas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:10 AM