ORANG ramai keluar membeli-belah menjelang Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, semalam.
Oleh Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menyenaraihitamkan 11 individu daripada menjalankan perniagaan di kawasan pentadbirannya selepas didapati terbabit dalam kegiatan pemalsuan lesen di tapak bazar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, situasi itu dikenal pasti hasil pemantauan berterusan anggota yang ditempatkan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, empat daripada tapak jualan barang kering itu didapati beroperasi dengan lesen mengelirukan.

“Semua tapak yang ditarik balik ini ditawarkan kembali kepada calon simpanan menerusi undi yang dibuat sebelum ini.

“Selain tindakan tersebut, sebanyak 31 sitaan juga sudah dibuat terhadap peniaga kecil tanpa lesen sepanjang bulan puasa ini di kawasan Masjid India dan Jalan TAR,” katanya pada Program Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk Masjid Kampung Baru, di sini, semalam.

Dalam program yang dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu, sebanyak 600 bungkus bubur lambuk yang dimasak oleh kira-kira 300 kakitangan daripada pelbagai jabatan DBKL diagihkan kepada orang ramai yang membeli-belah di ibu kota bermula jam 11 pagi sehingga 4 petang.

Selain itu, sebanyak 262 notis atas pelbagai kesalahan juga dikeluarkan DBKL menerusi tindakan dua jabatan terbabit iaitu Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perlesenan dan Pengurusan Penjaja.

Ahmad Phesal berkata, pihaknya bukan saja akan perkukuhkan lagi pemantauan di semua 71 bazar Ramadan, malah tidak akan bertolak ansur dengan peniaga yang mengambil kesempatan untuk berniaga secara haram.

“Perkara ini tidak adil kepada peniaga yang membayar tapak sewa dan sanggup beratur panjang sehingga tiba giliran mereka untuk berniaga di bazar Ramadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 7:53 AM