Rosmah berbual bersama Dr Farid selepas Ceramah Perdana di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, semalam.
Rosmah berbual bersama Dr Farid selepas Ceramah Perdana di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, semalam.
Oleh Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Malaysia perlu mempunyai tafsir al-Quran sendiri yang dihasilkan sarjana tempatan mengikut citra keperluan negara ini tanpa bergantung kepada tafsiran yang dikeluarkan negara luar.

Pendakwah Dr Farid Ravi Abdullah berkata, apa yang ada di negara ini sekarang hanya terjemahan ayat demi ayat al-Quran dan tidak mempunyai huraian terperinci mengenai sesuatu ayat.

“Projek tafsir al-Quran ini kali kedua saya lontarkan dalam majlis umum dan tiba masanya negara mempunyai tafsir sendiri yang boleh diketengahkan kepada umum supaya lebih sesuai serta difahami masyarakat zaman sekarang.

“Tafsir al-Quran yang ada sekarang dikarang dari negara jiran seperti Indonesia dan ia bukan hasil sarjana tanah air kita.

“Jadi selepas sekian lama merdeka, Malaysia perlu ada tafsir al-Quran sendiri kerana ketiadaan tafsir lengkap adalah satu kekurangan bagi umat Islam,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) bertajuk Ramadan Bulan Keampunan dan Ramadan Bulan Turunnya al-Quran di Bangunan BAKTI Siti Hasmah di Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua BAKTI Datin Seri Rosmah Mansor, Naib Yang Dipertua BAKTI Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Puan Sri Rohani Abdullah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Puan Sri Imran Ibrahim.

Dr Farid Ravi berkata, tafsir al-Quran yang dihasilkan anak tempatan menjadi keperluan utama untuk merungkai ayat dalam al-Quran, sekali gus menjadi panduan generasi akan datang kerana naskhah yang ada sekarang mungkin tidak jelas dan sesuai dengan keadaan semasa negara.

Katanya, tafsir al-Quran penting kerana ia menerangkan dengan terperinci sesuatu ayat dari segi jenis ayat, hukum dan sudut bahasa.

“Saya mendapat respons positif daripada peserta program yang menyokong supaya ada tafsir al-Quran dihasilkan negara kita sendiri.

“Insya-Allah selepas hari raya nanti saya akan berbincang dengan beberapa pihak mengenai projek tafsir al-Quran dan membuat susulan supaya ia berjaya direalisasikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:34 AM
Digital NSTP Subscribe