KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan, petang semalam.
KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan, petang semalam.
Oleh NurSaliawati Salberi

Alor Gajah: Dua anggota tentera dan dua sepupu maut selepas Proton Wira dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan lain di Jalan Bukit Putus, Jalan Tampin-Gemas, Tebong, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.13 petang itu, pemandu, Mohamad Isa Ismail, 27, berasal dari Kuala Kedah, Kedah dan dua lagi penumpang Nurul Azwa Syareza, 19, serta Nur Fazira Ahmad Man, 22, masing-masing dari Kampung Lalang Gedong Simunjan, Sarawak, maut di lokasi kejadian.

Seorang lagi penumpang kenderaan itu, Nur Haizam Mohd Zamri, 20, yang cedera disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan, petang semalam.

Difahamkan siasatan awal dilakukan polis mendapati kedua-dua gadis berkenaan adalah sepupu dan tinggal di kawasan kediaman sama.

Menurut sumber, polis menghubungi ibu kepada Nurul Azwa Syareza dan disebabkan tidak mahu wanita itu dikejutkan dengan berita sedih itu, pegawai berkenaan meminta bercakap dengan bapa saudara arwah yang juga bapa Nur Fazira.

“Lelaki berkenaan menerima berita itu dengan tenang, namun secara tidak sengaja pegawai berkenaan turut memaklumkan Nur Fazira juga maut dalam kemalangan sama. Bapa arwah terkedu selepas mendapati anaknya juga meninggal dunia dalam kemalangan dengan anak saudaranya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah Deputi Superintendan Razali Sabar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan Proton Wira dinaiki empat mangsa itu, Honda Accord dan Perodua Viva dari arah Tampin.

“Proton Wira itu hilang kawalan dan memasuki laluan bersebelahan sebelum bertembung dengan dua kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Pemandu Perodua Viva yang cedera dikejarkan ke Hospital Gemencheh, Negeri Sembilan manakala mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian dibawa ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan ahli keluarga mangsa dan kes siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tampin Pegawai Bomba Kanan II Roslan Sahrani berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada jam 4.15 petang.

“Anggota mengambil masa lebih 30 minit untuk mengeluarkan mayat dan pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka sudah meninggal dunia. Seorang lagi yang cedera dikejarkan ke Hospital Tampin,” katanya.

Difahamkan dua anggota tentera berkenaan bertugas di Kem Gemas, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 10:41 AM