Ampang: Polis giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian ragut sehingga menyebabkan kematian pengusaha restoran kelmarin.

Menurut kenyataan dikeluarkan dalam laman Facebook (FB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, lelaki berusia lingkungan 20-an itu disyaki suspek kejadian ragut yang berlaku di hadapan stesen minyak di Hulu Kelang, Ampang Jaya.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui lokasi suspek supaya menghubung Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Ampang Jaya Asisten Superintendan P Jaswant Singh di talian 03-42897222.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan atau Hotline di talian 03-42524866 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, Salimah Salim, 47 dan anaknya, Ihamavantisa Solihin, 27, yang menunggang skuter diragut dua lelaki bermotosikal berhampiran stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Taman Melawati ke Ampang, di sini.

Salimah dilaporkan maut di lokasi kejadian manakala Ihamavantisa parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan terjatuh ke dalam longkang.

Penjenayah bagaimanapun sempat melarikan diri selepas gagal meragut barang kemas milik mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:07 AM