PENDATANG asing ditahan dalam Op Nyah dijalankan di tapak pembinaan sekitar Seksyen 7, Shah Alam.
Oleh Icka S Hassan

Shah Alam: Bimbang diberkas pihak berkuasa, segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup mengambil risiko menggunakan laluan najis bagi meloloskan diri ketika diserbu dalam Op Nyah di tapak pembinaan sekitar Seksyen 7, dekat sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan mereka hanya sia-sia apabila anggota polis sudah mengepung laluan terbabit sebelum mereka ditahan.

Serbuan bermula jam 11 malam itu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang menyasarkan tapak pembinaan selepas ia dijadikan penempatan haram warga asing.

Difahamkan, ada antara PATI turut bertempiaran lari di kawasan dipenuhi besi cerucuk sejurus melihat kenderaan polis memasuki tapak pembinaan.

Operasi diketuai Ketua Trafik IPD Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen itu disertai 57 anggota yang membuat pemeriksaan ke atas 95 warga asing di lokasi berkenaan.

Goh berkata, daripada jumlah itu, seramai 29 PATI ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah dan dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Semua warga asing yang ditahan membabitkan 14 lelaki warga Bangladesh, Indonesia (tujuh), Myanmar (dua) dan Nepal (seorang).

“Turut ditahan seramai lima wanita Indonesia yang dipercayai bekerja di tapak bangunan terbabit sebagai pembancuh simen. Semua yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun,” katanya ketika ditemui selepas operasi.

Menurutnya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Semua warga asing berkenaan dibawa ke IPD Shah Alam saringan dan dokumentasi sebelum dihantar Depoh Tahanan Sementara Jabatan Imigresen sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:19 AM