BAKAR menunjukkan barangan lama dan antik di rumahnya di Kampung Bukit Pulau, Solok Bukit Baru, Bukit Katil.
Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my

Melaka: Suasana dalam sebuah bilik di kediaman Bakar Mohammed, 74, dari Kampung Bukit Pulau, Solok Bukit Baru, Bukit Katil, di sini, boleh diumpamakan seperti muzium apabila dipenuhi pelbagai barangan antik yang disimpan sejak 30 tahun lalu.

Biarpun kecil dan sempit, Bakar bijak menyusun atur koleksi barangan antik miliknya berikutan ada antaranya dikatakan berusia ratusan tahun.

Warga emas yang mesra dengan panggilan Pak Bakar itu berkata, barangan antik seperti radio, televisyen, barangan tembaga, keris lama, lembing, pedang, parang, seterika dan topi besi Perang Dunia Kedua yang memang sukar dicari tetapi berjaya dimilikinya.

Selain itu, katanya, barangan lain seperti tembikar, piring hitam lama, gramafon, kamera, kotak rokok lama dan banyak lagi termasuklah set radiogram yang pernah dimiliki masyarakat di negara ini sekitar tahun 1960-an yang masih berfungsi.

“Koleksi yang saya simpan adalah pelbagai, bukan sekadar tertumpu pada sesetengah barangan tertentu dan semuanya mempunyai nilai sejarah, cerita serta nostalgia yang tersendiri sekali gus menjadikan ia sangat unik.

“Saya kumpul koleksi ini untuk kepuasan diri dan secara tidak langsung ia mengembalikan semula nostalgia atau kenangan terutama pada zaman kanak-kanak yang juga zaman paling indah bagi setiap individu,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:29 AM