SALIMON dan isteri menunjukkan bumbung yang rosak diterbangkan angin.
Oleh Togi Marzuki

Pontian: Seorang nenek dan dua cucu perempuan kembar terpaksa menggunakan kusyen kerusi bagi melindungi kepala masing-masing daripada ditimpa kepingan zink berterbangan apabila rumah mereka di Kampung Haji Abd Karim, Ayer Baloi di sini dilanda ribut, Jumaat lalu.

Nasiah Salim, 60, berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu hanya dia dan dua cucu kembarnya Nur Qaseh Alleya dan Nur Qaseh Auni Azleya Roslan masing-masing berusia 14 bulan berada di rumah.

“Berlaku hujan lebat selama sejam disusuli angin kuat menyebabkan bumbung rumah bergegar dan bimbangkan keselamatan cucu, saya melindungi mereka dengan kusyen kerusi kerana bimbang dihempap zink.

“Situasi ketika itu amat menakutkan, tetapi saya tidak putus berzikir serta memohon perlindungan dari Allah supaya kami semua selamat daripada sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan, semalam.

Selain Nasiah, enam keluarga lain turut menerima bantuan kecemasan berjumlah RM500 sebagai bantuan awal membaiki kerosakan rumah yang terjejas akibat bencana alam itu.

Menurut Nasiah, dia bersyukur kerana kejadian itu tidak meragut nyawa keluarganya walaupun sebahagian besar bumbung tercabut diterbangkan angin dan perkakas rumah rosak terkena air hujan.

Sementara itu, Salimon Razali, 73, berkata dia lega dan bersyukur selepas mendapati isteri dan dua cucunya itu selamat walaupun rumah mereka rosak di landa ribut.

Katanya, sebaik pulang dari menunaikan solat Jumaat di masjid kampung berkenaan, dia terkejut apabila mendapati rumahnya rosak dilanda ribut dan bergegas mencari isteri dan cucunya.

“Saya lega dan melafazkan kesyukuran apabila mereka muncul dan memberitahu tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kelihatan masih ketakutan,” katanya yang bekerja sebagai petani itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:01 AM