ANGGOTA polis memeriksa dadah disembunyikan dalam kontena berisi jerami di Wangsa Melawati, kelmarin.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Dadah disorok dalam kontena sebelum ditutup dengan jerami padi yang diisytihar sebagai makanan kuda.

Itu taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyembunyikan dadah jenis heroin yang diseludup masuk dari Pakistan.

Bagaimanapun, taktik mereka terbongkar selepas kontena dijadikan sebagai tempat penyimpanan bahan terlarang itu dikesan van dipasang dengan kelengkapan teknologi dikenali sebagai ‘BackScatter’, kelmarin.

Alat berkenaan baru diguna pakai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memburu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang semakin licik menjadikan negara ini sebagai lokasi pengedaran mahupun transit mereka.

Dalam pemeriksaan itu, alat bernilai RM7 juta berkenaan mengimbas beberapa kontena mencurigakan di tempat letak kereta di sebuah pusat komersial di Wangsa Melawati, Desa Melawati.

Hasilnya, alat itu mengesan dadah jenis heroin tulen 34 kilogram bernilai RM3 juta disembunyikan dalam blok jerami yang diisytiharkan makanan kuda dan bahan membuat kotak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan tangkapan itu dan mengucapkan tahniah kepada pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Taktikal Khas dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman.

“Syabas [email protected], petang semalam (kelmarin) tangkap 22 orang warga Pakistan dan rampas 34 kilogram heroin di Desa Melawati, KL. Go PDRM Go,” katanya dalam laman Twitter miliknya.

Susulan serbuan itu, polis turut menjalankan siasatan ke atas beberapa pekerja warga Pakistan dan dua rakyat tempatan disyaki mempunyai kaitan dengan urusan pemprosesan kontena berkenaan.

Polis masih mengesan dalang sebenar aktiviti pengedaran dadah yang dipercayai dibawa masuk dari Pakistan itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:03 AM