Putrajaya: “Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan sekatan ke atas akses 301 laman web perjudian haram bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

“Ia adalah sebahagian daripada 940 permohonan menyekat akses perjudian atas talian yang dikemukakan pihak berkuasa seperti polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kementerian dan SKMM tidak akan berdiam diri, malah akan bertindak menapis serta menyekat laman web judi atau apa saja laman web yang tidak bersesuaian demi membanteras aktiviti yang membimbangkan masyarakat,” katanya.

Beliau mengulas laporan taktik terkini operator mesin judi haram yang menawarkan aktiviti perjudian dalam talian atau melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada orang ramai berikutan operasi besar-besaran dilakukan pihak berkuasa ke atas premis judi serta pusat siber yang menjalankan kegiatan haram itu.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan pejabat baharu Mutiara Teknologi (M) Sdn Bhd di Bandar Baru Bangi, dekat sini, semalam, Jailani berkata, SKMM juga telah menyekat 325 akses laman web yang menawarkan aktiviti perjudian daripada 538 permohonan dibuat polis, KPDNKK dan JAKIM tahun lalu.

Beliau berkata, sekatan ke atas laman web yang dikenal pasti aktif mempromosi serta menjalankan aktiviti judi haram dalam talian itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 4:58 AM