Putrajaya: Sebanyak 80 peratus pesakit datang ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya (HPj) di sini, bukannya disebabkan kecemasan sebaliknya menghidap penyakit ringan seperti selesema, batuk dan demam.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ketidakfahaman masyarakat terhadap fungsi jabatan itu menyebabkan pesakit yang benar-benar memerlukan perhatian petugas menunggu lama untuk mendapatkan rawatan kecemasan iaitu sehingga empat jam kerana bercampur pesakit biasa.

“Sepatutnya pesakit perlu tahu sekiranya hanya sakit biasa, mereka perlu pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan, bukannya ke jabatan itu.

“Mereka hanya boleh datang ke jabatan itu sekiranya mengunjungi hospital pada waktu malam kerana pusat kesihatan biasanya beroperasi pada waktu siang sahaja,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Hari Bersama Pelanggan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya (HPj) 2015 di sini, semalam.

Minggu Bersama Jabatan Kecemasan dan Trauma 2015 itu bermula kelmarin hingga 6 Ogos ini.

Dr Hilmi berkata, kebanyakan kes kecemasan di HPj membabitkan sakit jantung, kemalangan dan asma, selain kematian kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah yang diletakkan di pusat asuhan.

Menurutnya, menerusi aktiviti terancang, peranan dan fungsi setiap jabatan serta unit di hospital boleh diperkukuhkan lagi.

“Ini penting supaya tempat ini tidak disalahgunakan untuk kes tidak sepatutnya dan secara tidak langsung akan mengkompromi kualiti pengurusan kes lain yang sedang dirawat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 8:02 AM