ANTARA 67,000 pelawat yang mengunjungi Hari Terbuka GLC 2015.
ANTARA 67,000 pelawat yang mengunjungi Hari Terbuka GLC 2015.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kurang menyerlah pada Program Transformasi GLC (GLCT) kali ini harus melakukan beberapa perubahan dalam meningkatkan prestasi syarikat pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata perubahan perlu dilakukan termasuk membawa masuk muka baru di peringkat pengurusan dan lembaga pengarah.

“GLC yang kurang memberangsangkan pada sesi transformasi kali ini boleh kembali semula kepada asas. Mereka sudah mempunyai model dan kaedah (transformasi) yang betul,” katanya kepada pemberita pada majlis penutupan Hari Terbuka GLC 2015 di sini semalam.

Bagi GLC yang telah ditauliahkan, Wahid berkata mereka perlu meneruskan rentak kejayaan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Program Majlis Graduasi yang juga Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar berkata Telekom Malaysia Bhd (TM) yang akan mengetuai fasa kedua kelab untuk meneraju usaha Malaysia merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, akan bergerak dalam bentuk yang kurang formal.

Kelab itu akan mula beroperasi pada Januari 2016 membabitkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan 20 GLC utama negara.

“Ia seperti pascasiswazah, dengan syarikat yang ‘lulus’ masih perlu belajar dan mengatasi antara satu sama lain,” kata Azman.

Program tiga hari itu yang berakhir hari ini dikunjungi lebih 67,000 pelawat.

Ia menyaksikan 17 syarikat GLC ditauliahkan pada majlis Graduasi GLCT, berjaya melepasi sasaran transformasi yang telah ditetapkan.

Dalam program GLCT, pemodalan pasaran G20 meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM386 bilion berbanding RM134 bilion dari Mei 2004 hingga Julai 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:05 AM