MUNUSAMY (dua dari kanan) menunjukkan air ketum yang dirampas.

Kuala Lumpur: Seorang pengawal keselamatan sanggup menipu majikannya dengan mengambil cuti sakit palsu dua minggu semata-mata mahu menguruskan perniagaan air ketum.

Bagaimanapun helah lelaki berusia 28 tahun itu terbongkar selepas sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul melakukan serbuan di kebun bunga Jalan Batu Muda, Batu 5 Jinjang, di sini.

Dalam serbuan jam 2 petang kelmarin, suspek ditahan ketika memproses minuman khayal berkenaan di bangsal di kebun bunga.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihaknya merampas 165 bungkusan air ketum siap diproses bernilai RM1,650.

Menurutnya, polis turut merampas 20.6 kilogram (kg) daun ketum kering, 6.5 kg daun ketum basah serta beberapa peralatan memproses air ketum dipercayai digunakan suspek untuk menghasilkan minuman itu.

“Suspek bercuti kerja sejak dua minggu lalu kerana mendakwa sakit. Dia bagaimanapun menggunakan masa cuti itu untuk menjalankan kegiatan menjual minuman khayal kepada orang ramai.

“Lelaki ini dipercayai menjual air ketum kepada pelanggannya di kebun bunga ini pada harga RM10 bagi setiap bungkusan air ketum seberat satu kilogram,” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan bagaimana suspek memperoleh daun ketum dalam kuantiti besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:35 AM