Kajang: Dua penjenayah dikesan menggunakan kemeja-T dengan lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyamun.

Suspek turut ‘mencipta’ kad kuasa khas bagi meyakinkan mangsa terutama pekerja warga asing Bangladesh dan Myanmar.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi kelmarin, suspek menculik dan merompak seorang lelaki warga Bangladesh di Semenyih di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Willey Richard berkata, mangsa berusia 28 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengirimkan wang kepada keluarganya di kampung.

Menurutnya, dua suspek menahan mangsa di Jalan Pasar Baru berhampiran Semenyih Sentral di sini, sebelum menunjukkan kad identiti polis.

“Suspek membawa mangsa menaiki kereta menuju ke Pasar Pekan Semenyih,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, semalam.

Menurutnya, suspek memeriksa poket mangsa dan merampas wang tunai berjumlah RM3,000 serta telefon bimbit model Lenovo.

“Mangsa ditinggalkan di lokasi itu sebelum suspek melarikan diri. Susulan itu mangsa bertindak membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 8:21 AM