AZIH (tengah) mahu kerajaan pertimbang cadangan bagi ringan beban kewangan golongan sasar.

Kuala Lumpur: Kerajaan diminta mengecualikan bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap barangan keperluan utama empat kumpulan sasar bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata, empat kumpulan terbabit iaitu kanak-kanak, orang tua, orang kurang upaya (OKU) dan golongan miskin kini hidup tertekan sejak cukai berkenaan dilaksanakan 1 April lalu.

Kata beliau, peningkatan harga barangan terutama makanan akibat pelaksanaan GST jelas menambah beban golongan yang berpendapatan rendah kerana ia turut menyebabkan kenaikan kos sara hidup.

Katanya, CUEPACS tidak mahu rakyat yang kurang berkemampuan menganggap kerajaan tidak prihatin dengan nasib mereka memandangkan keadaan ekonomi hari ini jelas membebankan kehidupan masyarakat.

“Sebagai contoh, dulu harga susu untuk anak mereka mungkin sekitar RM10 saja, tetapi kini selepas GST, ia menjadi RM10.60.

“Perbezaan harga itu mungkin perkara kecil bagi golongan bergaji tinggi, tetapi ia nyata membebankan kumpulan berpendapatan rendah terutama empat golongan sasar ini.

“Kita tidak menolak pelaksanaan skim cukai ini, tetapi meminta kerajaan supaya menyemak semula pelaksanaan GST dalam pembentangan bajet Oktober nanti supaya keperluan utama untuk empat kumpulan ini dapat diberi pengecualian,” katanya pada sidang media, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 8:08 AM