Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Tiga individu iaitu Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, Pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin dan ahli perniagaan Low Taek Jho yang turut dikenali sebagai Jho Low diminta menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan segera bagi membantu siasatan berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata, ketiga-tiga individu terbabit dikehendaki menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Penolong Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 010-3187757 atau 03-88900752, atau Penolong Pesuruhjaya Norkhafizin Isa di talian 019-6000345 atau 03-88900754.

“Mereka dikehendaki hadir di Bahagian Operasi Khas SPRM di Aras 7, Menara Prisma, Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,” kata SPRM dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Nik Faisal memegang kad pengenalan bernombor 710304-10-6303 dan pasport bernombor A31780240. Alamat terakhirnya di Nombor 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam, Selangor dan Nombor 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam, Selangor.

Suboh yang memegang kad pengenalan bernombor 510111-10-5521 dan pasport bernombor D021678 serta R016029 beralamat terakhir di 3-15-2, Nombor 3, The Residence, Jalan Wan Kadir 5, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Jho Low, pemegang kad pengenalan bernombor 811104-07-5701 pula beralamat di 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Pada masa sama, Azam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ketiga-tiga individu terbabit supaya menghubungi Penolong Rosli atau Norkhafizin atau mana-mana Pejabat SPRM berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:08 AM