Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Mohammad Hairi Azmi Tham

Kuala Kangsar: “Semoga mereka menerima balasan setimpal dengan perbuatan kejam itu,” kata Azreena Abd Jamek, anak kepada Allahyarham Hindun Abdul Halim, 74, yang ditemui mati tertiarap di dapur dengan tangan terikat serta mulut ditutup menggunakan kain selepas rumahnya dipecah masuk dua penyamun dalam kejadian di Padang Asam, Padang Rengas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Hindun berada di rumah bersama pembantu rumah berusia 20 tahun serta dua cucunya masing-masing berumur enam dan tujuh tahun sebelum dua lelaki bersenjatakan pisau menceroboh.

Azreena, 33, berkata, tujuh individu tinggal di kediaman itu, namun pada hari kejadian, hanya empat saja yang ada disebabkan dia dan suami bekerja.

Menurutnya, dia menerima berita itu jam 4 petang ketika di pejabat sebelum bergegas pulang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Deputi Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, suspek menutup mulut serta mengikat tangan semua mangsa menggunakan kain sebelum menggeledah rumah berkenaan.

Katanya, ketika kedua-dua suspek menggeledah bilik di rumah itu, pembantu rumah mengambil kesempatan membuka ikatan dan melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

Menurutnya, sebaik pulang, pembantu rumah itu menemui Hindun dalam keadaan tertiarap sebelum pemeriksaan mendapati mangsa sudah tidak lagi bernyawa.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai lemas selepas pemeriksaan ke atas tubuh tidak menemui kesan luka atau cedera

“Polis melakukan siasatan bagi mengenal pasti jumlah kerugian serta mengesan suspek yang memasuki rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:20 AM