Shah Alam: Kenyataan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali bahawa Darul Ehsan Investment Group (DEIG) masih belum beroperasi dipertikaikan kerana entiti berkenaan sudah menyalurkan wang zakat pada Ramadan lalu.

Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor Budiman Mohd Zohdi berkata, Ramadan lalu, DEIG dikatakan menyerahkan wang berjumlah RM5 juta dikatakan sebagai zakat.

“Persoalan timbul apabila DEIG yang konon belum memulakan perniagaan sudah mengeluarkan zakat malah pembahagian itu tidak dirujuk kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Satu laporan polis juga dibuat berkenaan pembahagian zakat itu oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan dilaporkan dalam beberapa portal berita dan akhbar,” katanya ketika sidang media di Bangunan UMNO, di sini, semalam.

Mohamed Azmin sebelum ini menafikan pihaknya memperuntukkan RM2 bilion bagi kerja pengubahsuaian pejabat DEIG yang didakwa akan beroperasi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini.

Beliau dilaporkan mendakwa perkara itu tidak benar kerana DEIG masih belum beroperasi malah belum ada sebarang transaksi, aset dan aktiviti membabitkan syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:28 AM