Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Plaza Low Yat 2 atau pusat perniagaan alat telekomunikasi dan gajet yang memberi peluang kepada Bumiputera menjalankan perniagaan terbabit akan dibuka di Negeri Sembilan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya dalam proses menjadikan Medan MARA sebagai perintis pusat perniagaan teknologi maklumat (IT) dan alat telekomunikasi berkenaan dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya, meskipun projek perintis itu masih dalam peringkat awal, namun pembangunan pusat perniagaan terbabit turut disambut baik beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu.

“Tujuan KKLW (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) mewujudkan pusat perniagaan IT kerana kita tidak mahu belia Bumiputera ketinggalan dalam lapangan baru yang menjadi sektor masa depan.

“Kita tidak mahu belia Bumiputera terperangkap dengan sektor tradisional semata-mata seperti industri makanan kerepek dan sebagainya sedangkan negara kita terus berkembang maju,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:29 AM