KEADAAN MPV yang remuk.
Oleh Mohamad Hairi Azmi Tham
am@hmetro.com.my

Manong: Tiga sekeluarga maut termasuk seorang warga emas dalam kemalangan membabitkan sebuah lori simen dan kereta Perodua Alza berhampiran Sekolah Kebangsaan Lempor, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang, tiga daripada lima mangsa yang menaiki Perodua Alza maut di tempat kejadian akibat tersepit selepas bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Deputi Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, mangsa yang maut, pemandu kereta, Zurina Zainal Abidin, 35, penumpang hadapan yang juga bapa Zurina, Zainal Abidin Yub Mat Rasib, 70, serta anaknya yang duduk di bahagian penumpang belakang, Zafryn Alif Damien Shainatulhisem, 9.

Menurutnya, dua lagi mangsa yang berada di tempat duduk belakang, Zafryl Iman Darius Shainatulhisem, 7, dan Zaflyn Saira Darwina Shainatulhisem, 4, cedera dan dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, siasatan mendapati pemandu kereta Perodua Alza itu cuba memotong sebuah lori pasir yang berhenti di kiri jalan namun gagal.

“Ketika cuba memotong, Perodua Alza berkenaan masuk ke laluan bertentangan namun tidak sempat memotong dan melanggar sebuah lori simen yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, kenderaan berkenaan terbabas ke tepi jalan dan menyebabkan tiga mangsa maut di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan dan kes siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Khairi Anuar Sharudin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 1.58 tengah hari semalam bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setiba di lokasi pihaknya mendapati sebuah kereta Perodua Alza remuk teruk di bahagian hadapan dan terdapat tiga mangsa masih berada dalam kenderaan itu.

“Anggota mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang berada di situ.

“Dua kanak-kanak di tempat duduk belakang dikeluarkan orang awam dan dihantar ke hospital. Operasi tamat pada jam 3.10 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:51 AM