Subang Jaya: Seorang pemotong rumput tidak menyangka tidur sepanjang malam bersama mayat rakannya yang mati akibat dibelasah.

Lelaki warga Nepal berusia 30-an itu hanya menyedari kejadian itu ketika mengejutkan mangsa untuk pergi bekerja pada jam 7 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kejadian berlaku di rumah sewa mangsa terletak di Bandar Bukit Puchong di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya keluar bersama untuk minum arak di sebuah kedai berhampiran rumahnya pada malam sebelum kejadian.

“Bagaimanapun berlaku pertengkaran mengakibatkan seorang daripada rakannya bertindak memukul mangsa dengan menggunakan sebatang kayu.

“Mangsa cedera dalam kejadian itu tetapi masih sedarkan diri dan pulang sendiri ke rumahnya yang terletak berhampiran kedai menjual minuman keras berkenaan,” katanya.

Dia berkata, rakan serumah mangsa cuba mengejutkan mangsa dari tidur sebelum menyedari mangsa sudah meninggal dunia.

“Mereka hanya membuat laporan polis pada jam 1.45 petang kelmarin akibat ketakutan,” katanya.

Menurutnya, pihak polis sudah menahan tiga individu warga Nepal berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 10:37 AM