Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Anthony Kevin Morais yang hilang sejak Jumaat lalu tidak terbabit dalam siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu disahkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

“Saya ingin menjelaskan Kevin dipindah semula ke Jabatan Peguam Negara dari SPRM berkuat kuasa 15 Julai 2014 dan memegang jawatan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan.

“Saya ingin menjelaskan Kevin tidak terbabit dalam apa-apa siasatan yang berkaitan dengan 1MDB dan kes SPRM yang dikendalikan di bawah portfolio beliau sekarang kes yang dibawa bersama untuk tujuan kesinambungan pendakwaan,” katanya.

Kevin dilaporkan hilang Jumaat lalu dan kelmarin polis menemui kereta dipercayai milik beliau di ladang sawit di Kampung Sungai Samak Perak.

Mohamed Apandi berkata, memandangkan polis melakukan siasatan berhubung kehilangan Morais, Jabatan Peguam Negara menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai punca kehilangan beliau.

Katanya, Jabatan Peguam Negara memberikan kerjasama kepada polis dalam siasatan mereka.

“Rakan sekerja berkongsi kebimbangan dengan keluarga di atas laporan kehilangan beliau. Doa dan ingatan kami sentiasa bersama mereka ketika menghadapi saat sukar ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:16 AM