Kajang: Seorang lelaki berusia 40 tahun mengamuk bersenjatakan parang dan kapak hanya kerana percaya khabar angin isterinya menjalin hubungan cinta dengan rakan sekerja.

Dalam kejadian jam 9 pagi Sabtu lalu, wanita berusia 50 tahun itu terkejut selepas mendapati suaminya dalam keadaan marah dan tergesa-gesa keluar dari rumah mereka di Bandar Teknologi Kajang di sini.

Sumber berkata, wanita itu yang pelik dengan sikap suaminya sempat bertanya arah tujuan suspek yang membawa senjata tajam.

“Suspek kemudian memberitahu dia mahu pergi ke tempat kerja isterinya untuk mencari dan membunuh lelaki yang menjalin hubungan sulit dengan isterinya.

“Lelaki itu turut mendakwa sudah mengupah dua lelaki untuk membunuh teman sekerja isterinya itu,” katanya.

Sumber memberitahu, suspek turut sempat mengugut mahu membunuh mangsa sekiranya dia membuat laporan polis sebelum meninggalkan rumah.

“Bimbang terjadi perkara tidak diingini, mangsa segera tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Teknologi Kajang, di sini,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, susulan laporan diterima itu, polis berjaya menahan suspek di rumahnya jam 7.30 malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 9:39 AM