IDRIS (dua dari kanan) melawat gerai pameran Seminar Pendidikan Islam Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2015 di USIM, Nilai, Negeri Sembilan.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Nilai: Kementerian Pengajian Tinggi merangka beberapa program pengajian bagi membolehkan pelajar pondok, madrasah dan maahad tahfiz melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran di peringkat sijil dan diploma ditawarkan Kolej Komuniti.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu bertujuan melahirkan lebih ramai pelajar tahfiz berkelayakan dalam kemahiran ditawarkan kementerian berkenaan.

Katanya, pelajar tahfiz boleh memilih 64 program pengajian ditawarkan Kolej Komuniti dalam pelbagai bidang termasuk latihan teknik dan vokasional, agrikultur, teknologi maklumat dan keusahawanan.

“Kolej Komuniti mempunyai pelan pengajian fleksibel, malah ketika ini mereka menerima kira-kira 40,000 pelajar tahfiz di seluruh negara mengambil kursus pendek dengan menghadiri kelas setiap hujung minggu.

“Bagaimanapun, kursus pendek dalam pelbagai bidang kemahiran hanya membolehkan mereka mempelajari ilmu baru untuk kegunaan sendiri kerana tidak menerima Sijil Kemahiran Malaysia yang boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) Peringkat Nasional di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, semalam.

Menurutnya, program pengajian itu antara inisiatif PISH dalam mempersiapkan modal insan yang berpengetahuan tinggi dan berkemahiran selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 9:27 AM