Kuala Lumpur: Pusat Khas Meteorologikal ASEAN (ASMC) mengesan pertambahan jumlah kawasan titik panas di Kalimantan, Indonesia, kelmarin, berbanding yang direkodkan Jumaat lalu.

Berdasarkan imej satelit yang dirakam Pentadbiran Atmosfera dan Iklim Lautan Kebangsaan (NOAA) 18, hanya 25 kawasan titik panas dikesan pada Jumaat lalu berbanding 407 yang dicatatkan, kelmarin.

Begitupun, bilangan titik panas di Kalimantan dan Sumatera tidak dapat dikesan sepenuhnya berikutan terdapat litupan awan manakala di Malaysia, hanya dua titik panas dikesan iaitu semuanya di Sarawak.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan keadaan corak tiupan angin semasa, asap jerebu sederhana dan tebal dari titik panas di wilayah Sumatera Selatan dijangka bergerak merentasi wilayah Bangka-Belitung menuju ke Laut China Selatan dalam tempoh 24 hingga 48 jam berikutnya.

Selain itu, asap jerebu sederhana dan tebal dari titik panas di wilayah Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat juga dijangka merebak ke arah bahagian barat Sarawak dalam tempoh 48 hingga 72 jam berikutnya.

“Masalah jerebu ini dijangka berkurangan dengan berakhirnya musim Monsun Barat Daya pada pertengahan bulan ini dan diikuti musim Peralihan Monsun sehingga awal November depan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengesan 3,272 kes pembakaran terbuka di seluruh negara sehingga kelmarin.

Wan Junaidi berkata, pembakaran terbuka di kawasan pertanian merekodkan jumlah terbanyak iaitu 1,170 kes diikuti kawasan hutan (581) serta tapak pembinaan (64).

Pembakaran kawasan belukar pula merekodkan 628 kes dan pembakaran terbuka (kecil) sebanyak 719 kes.

“Bagi tindakan penguatkuasaan untuk tempoh yang sama, 215 kes pembakaran terbuka sudah dikenakan tindakan kompaun, 15 kes lagi dikeluarkan Notis Arahan dan 41 kes dikeluarkan Surat Arahan.

“Sebanyak 18 kes pembakaran terbuka lagi sudah disediakan kertas siasatan untuk diambil tindakan mahkamah,” katanya.

Menurut Wan Junaidi lagi, menurut Seksyen 29 (A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kompaun maksimum RM2000 juga boleh dikenakan untuk setiap kesalahan.

“Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil selain melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1800882727,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 9:52 AM