Kubang Pasu: “Anak saya ketika itu memberi lampu isyarat membelok masuk ke rumah, namun tiba-tiba sebuah bas merempuh dari belakang,” kata Muhammad Yazi Md Zin, bapa mentua kepada Noor Haslinda Hashim yang maut selepas Toyota Unser dipandu suaminya dirempuh bas dari arah Alor Setar menghala ke Kangar berhampiran Balai Bomba Sukarela Ayer Hitam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang, Toyota Unser dipandu Mohammad Iqhfan turut berlanggar dengan Proton Waja dan motosikal dari arah bertentangan menyebabkan Noor Haslinda, 34, cedera parah akibat tersepit di tempat duduk penumpang belakang sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Muhammad Yazi, 63, berkata, mereka sekeluarga termasuk isterinya, Mashitah Saleh, 57, dua anak mangsa Aqil Naufal, 5, dan Hanan Wafi, 2, baru pulang dari kenduri akikah di Yan, dekat sini, dan anak lelakinya memberi lampu isyarat untuk membelok ke kanan selepas sampai di rumahnya.

“Ketika anak saya menunggu kerana memberi laluan kereta dari arah bertentangan tiba-tiba bas dari arah sama merempuh bahagian belakang.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan saya tidak dapat mengingati apa-apa dan kami terselamat cuma menantu yang cedera parah,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:15 AM