Melaka: “Bayangkan jika kamu ada anak perempuan dan dia diperlakukan sebegini. Hukuman ini bagi memberi pengajaran kepada kamu supaya tidak mengulangi lagi perbuatan jijik dan terkutuk.” Demikian kata Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik kepada Zull Khairi Razak yang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan.

Zull Khairi, 22, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam, mengaku bersalah di hadapan Mohd Asri selepas faham dengan pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, Zull Khairi didapati mencabul kehormatan kanak-kanak berusia empat tahun di sebuah rumah, jam 9.30 malam, pada 23 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 5:57 AM