NORIZAN memangku bayinya yang menghidap Hydrocephalus.
NORIZAN memangku bayinya yang menghidap Hydrocephalus.
Oleh Aslina Abu Bakar


Kuala Terengganu: Kesusahan hidup selepas ditinggalkan suami bukan alasan kepada Norizan Che Muda dari Kampung Ladang Hospital, di sini, untuk mengeluh walaupun terpaksa membesarkan anak yang menghidapi penyakit lebihan cecair dalam otak (Hydrocephalus) serta neneknya berusia 84 tahun.

Selepas ditinggalkan suami ketika hamil anak ketiganya setahun lalu, Norizan, 30, berkata, dia terpaksa meminta ihsan ibunya, Zaiton Amat, 55, yang bekerja di kedai makan untuk membeli barang keperluan kerana dia terpaksa menjaga anak, Nur Kamisha Rahima yang berusia empat bulan dan neneknya.

“Saya harap selepas pembedahan pada November depan, anak saya akan sihat dan bebas daripada sebarang masalah kesihatan.

“Walaupun saya tahu dia sukar sembuh kerana kepalanya membesar ketika usia kandungan mencecah tujuh bulan, tetapi saya tetap berdoa agar dia normal seperti bayi lain,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, walaupun sedih melihat penderitaan Nur Kamisha namun dia menerimanya sebagai ujian kesabaran.

“Anak saya akan menjalani pembedahan pada 28 November ini dan sehingga kini saya belum pasti berapa kos rawatan yang diperlukan untuk membuang lebihan cecair di kepalanya.

“Saya berharap ada insan yang sanggup membantu meringankan beban kami bagi memastikan proses pembedahan dapat dijalankan dengan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Terengganu Rozita Ismail berkata, pihaknya akan membantu keluarga Norizan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tabung Kronik dan bantuan bagi menjalankan pembedahan.

“Kami dimaklumkan Norizan masih belum mendapat apa-apa bantuan lagi walaupun dia terpaksa menjaga neneknya yang uzur dan anaknya pula sakit.

“Oleh itu, pihak kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan mereka mendapat bantuan yang sewajarnya,” katanya selepas menziarahi keluarga berkenaan bersama Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu Nia Notieya Zaharudin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 6:42 AM