Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menafikan dakwaan yang viral di Internet serta laman sosial kononnya bumi akan bergelap selama 15 hari berikutan kedudukan dua planet iaitu Musytari dan Zuhrah dalam garis selari, sekali gus menghalang kemasukan cahaya matahari.

Pegawai Sains ANGKASA Mohd Zamri Shah Mastor berkata, laporan berita terbabit yang viral di Internet serta di Facebook (FB) tidak benar dan sengaja direka-reka pihak tertentu.

“Hasil semakan di laman web rasmi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) turut menafikan perkara itu dan fenomena kononnya ‘November Blackout’ tidak wujud.

“Semakan mendapati fenomena dua planet iaitu Musytari kelihatan berada terlalu hampir dengan Zuhrah di langit atau dikenali sebagai fenomena ‘Ijtimak’ perkara normal berlaku pada tarikh tertentu,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:18 AM