ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa.
ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kota Samarahan: Perselisihan faham antara tiga remaja lelaki bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut dibelasah di belakang sebuah restoran di Taman Desa Ilmu, di sini, semalam.

Pergaduhan difahamkan berlaku awal pagi, dengan mayat mangsa berusia 17 tahun ditemui orang ramai terbaring di belakang kedai pada jam 7.15 pagi.

Difahamkan kejadian dipercayai berpunca apabila dua suspek tidak puas hati dengan tindakan mangsa yang mengejek sehingga menyebabkan pergaduhan antara mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, polis mendapati mayat seorang remaja lelaki terbaring di belakang sebuah premis dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan.

“Bertindak dengan maklumat diterima, Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan menahan dua remaja berusia 15 dan 18 tahun di Kota Samarahan.

“Kedua-dua remaja itu mengaku berlaku pergaduhan antara mereka disebabkan salah faham kecil dan mereka membelasah mangsa hingga tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Dev berkata, tiada senjata ditemui di lokasi kejadian dan suspek mengaku membelasah mangsa menggunakan tangan dan kaki.

Katanya, punca kematian mangsa masih belum diketahui sehingga bedah siasat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kedua suspek akan direman di Mahkamah Kota Samarahan esok,” katanya yang mengucapkan tahniah kepada D9 dan JSJ IPD Samarahan yang berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:19 AM