MALIM gunung membantu mencari dan menyelamat guru besar hilang.
MALIM gunung membantu mencari dan menyelamat guru besar hilang.

Shah Alam: Operasi mencari Guru Besar Sekolah Kebangsaan Keramat, Kuala Lumpur Jashiah Rabu, 53, tidak dihentikan walaupun belum ada petunjuk positif yang ditemui pasukan mencari sehingga kini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, operasi pencarian yang masuk hari ke-17 itu diteruskan dengan menggunakan pelbagai kaedah yang dapat membantu pasukan pencari.

Menurutnya, sektor carian ditambah daripada empat kepada tujuh sektor dalam lingkungan keluasan lebih kecil di sekitar Kampung Orang Asli Buloh Telur, Kuala Kubu Bharu.

“Keluasan kawasan carian diperkecilkan untuk memudahkan pasukan mencari memfokuskan kawasan dikenal pasti dan mempergiatkan operasi.

“Walaupun alat pengesan haba badan manusia atau Thermo Camera tidak memberikan petunjuk positif, pasukan mencari tetap menggunakannya sebagai kaedah tambahan mengesan mangsa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Meja Bulat Bandar Selamat anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, semalam.

Katanya, keanggotaan pasukan mencari juga dikekalkan dengan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 3 Senoi Praq, PGA Batalion 18, Pengkalan Hulu, Perak.

Veteran polis dan tentera, Persatuan Malim Gunung Malaysia dan masyarakat setempat turut membantu operasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:26 AM