Fadillah (kiri) meninjau Projek Jalan Tangkak-Segamat di Jementah, semalam.
Oleh Ibrahim Isa


Segamat: Kementerian Kerja Raya memohon peruntukan tambahan bagi menyiapkan kerja naik taraf Jalan Segamat-Muar sejauh 64 kilometer (km), sekali gus mengelak banjir dan memudahkan urusan harian lebih 5,000 pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini dua fasa kerja menaik taraf membabitkan kos RM330 juta dari bandar Segamat ke Jementah sudah 98 peratus siap.

“Kami meninjau jalan sejauh 22 kilometer dan turun ke lokasi untuk mengetahui masalah sampingan yang dihadapi penduduk sekiranya berlaku banjir.

“Selain melebarkan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong, jalan ini turut ditinggikan bagi mengelak ia terputus hubungan sekiranya berlaku banjir.

“Projek meninggikan jalan penting bagi mengelak penduduk terputus hubungan seperti yang berlaku ketika banjir besar sebelum ini,” katanya selepas lawatan ke tapak pembinaan Jalan Segamat-Muar, di sini, semalam.

Fadillah berkata, dengan meninggikan jalan berkenaan, pihak berkuasa dapat memberikan bantuan kepada mangsa banjir termasuk mengagihkan makanan dan bantuan.

Selain itu, katanya, mangsa banjir boleh meletakkan kenderaan di bahu jalan walaupun kawasan kediaman mereka dinaiki air.

Menurutnya, fasa ketiga dari Jementah ke Sagil akan dimulakan pembinaan tahun depan dan kementerian meminta peruntukan tambahan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk menyiapkan fasa tambahan hingga ke Tangkak.

“Jumlah keseluruhan kerja menaik taraf jalan sejauh 64 kilometer ini adalah RM964 juta. Pada masa sama, kami bertemu pemimpin dan rakan Kementerian Kerja Raya bagi mengetahui masalah dihadapi penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 4:47 AM