ANGGOTA bomba membawa Leong keluar dari kawasan perhutanan Air Hitam, Bukit Wawasan, semalam.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim


Puchong: Seorang wanita menanggung azab 45 minit selepas dihempap pokok tumbang di kawasan perhutanan Air Hitam, Bukit Wawasan dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi, mangsa, Leong Choi Yoke, 44, biasanya bersama rakan beriadah di kawasan berkenaan.

Sebaik mangsa dan rakan tiba di tempat kejadian, angin kencang menyebabkan dua pokok tumbang dengan satu daripadanya menghempap mangsa.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku begitu pantas sebelum dia terdengar jeritan Leong.

“Saya sempat mengelak ketika pokok itu tumbang, namun Leong tidak sempat lalu dihempap pokok.

“Ketika itu, saya terdengar jeritannya sebelum jatuh terlentang mengerang kesakitan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.29 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa 30 minit menyelamatkan mangsa kerana keadaan kawasan yang berbukit

“Mangsa patah kaki kiri dan anggota bomba menggunakan alatan memotong untuk mengalihkan pokok sebelum dia dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:28 AM