ANGGOTA bomba menanggalkan cincin yang dipakai Sritharan di Klinik Kesihatan Bestari Jaya.
ANGGOTA bomba menanggalkan cincin yang dipakai Sritharan di Klinik Kesihatan Bestari Jaya.

Kuala Selangor: Seorang tukang besi menahan kesakitan selama dua hari apabila cincin yang dipakai terlekat pada jari telunjuknya.

Mangsa, G Sritharan, 35, akhirnya dibantu bomba dan penyelamat yang menanggalkan cincin berkenaan, jam 6 petang kelmarin, di Klinik Kesihatan Bestari Jaya di sini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya Rosdi Shafie berkata, cincin dipakai mangsa terlekat berikutan jarinya membengkak akibat terkena ketukan tukul besi ketika sedang bekerja.

“Mangsa datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan namun cincin terbabit gagal dikeluarkan.

“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menanggalkan cincin berkenaan dengan menggunakan bahan pelincir selepas usaha memotongnya menggunakan alat pemotong gagal akibat ketebalan cincin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rosdi berkata, mangsa turut meminta pihaknya menanggalkan sebentuk cincin dipakai pada jari manisnya kerana bimbang ia tidak dapat ditanggalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:22 AM