MAHDZIR (tiga dari kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan teknologi hijau sebagai bidang baru dalam sektor pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di kolej vokasional terpilih pada masa depan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bidang teknologi hijau dipilih memandangkan ia satu bidang luas malah, ia antara sektor utama diberi tumpuan oleh negara maju dan negara sedang membangun.

Beliau berkata, bidang baru itu masih di peringkat cadangan, malah pihaknya akan memulakan kajian terhadap modul pengajaran dan latihan berkaitan bidang itu tahun depan sebelum melatih guru untuk melatih pelajar dalam bidang itu.

“Kami akan merujuk modul pengajaran dan latihan diamalkan di beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea.

“Teknologi hijau bidang luas dan pemilihan bidang baru tepat selaras usaha negara melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Pertandingan KVSkills 2015 Peringkat Kebangsaan di Kolej Vokasional Sepang, di sini, semalam.

Justeru, katanya, tempat sesuai melahirkan pakar dan pekerja terlatih dalam bidang berkenaan pastinya menerusi kolej vokasional.

Mahdzir berkata, negara membangun dan maju kini memberi tumpuan utama kepada sektor pertumbuhan dan teknologi hijau.

“Antara sektor yang boleh dieksploitasi dalam teknologi hijau ialah tenaga diperbaharui, tenaga solar, sistem angin dan biodiesel selain kitar semula,” katanya.

Terdahulu, Mahdzir berkesempatan menyampaikan hadiah kepada peserta Pertandingan KVSkills 2015 Peringkat Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 6:09 AM