KUMAR bersama anaknya Vasudevan.

Sepang: “Gaji saya hanya sekitar RM800 hingga RM950 sebulan bergantung kepada hasil yang diperolehi dan ia tidak cukup untuk menampung kos pembedahan anak kedua kami,” kata A Kumar, 33, menceritakan penyakit jantung berlubang dihadapi anak lelakinya.

Menurutnya, dia bekerja sebagai pemotong buah kelapa sawit dan pendapatannya itu tidak mencukupi untuk membayar kos pembedahan anaknya, K Vasudevan berusia enam tahun yang akan dibuat di Institut Jantung Negara (IJN) dalam tempoh terdekat.

“Isteri saya, M Hemala, 25, adalah suri rumah dan saya mempunyai tiga anak lain dan semua mereka berusia antara satu hingga tujuh tahun.

“Wang pendapatan yang diperoleh juga perlu diuruskan dengan cermat, termasuk membayar sewa rumah sekitar RM350 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ria, Sungai Pelek, di sini, semalam.

Dengan pendapatan itu, Kumar mengakui dia menghadapi masalah untuk membuat simpanan bagi kos pembedahan anaknya yang dijangka dibuat pada bulan ini.

“Tarikh bagi pembedahan belum diketahui dan akan dimaklumkan sehingga kami datang ke IJN semula bagi mengambil surat berkenaan,” katanya.

Menceritakan masalah dihadapi anaknya, Kumar berkata, Vasudevan menghidap jantung berlubang sejak usia masih bayi.

“Walaupun menghidap penyakit ini, dia seorang yang aktif dan sihat cuma menghadapi masalah dari segi berat badan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan boleh menghubunginya di talian 0132983352 atau sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 1014429000123407.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 7:57 AM