NELAYAN asing yang ditahan APMM berhampiran perairan Sekinchan, semalam.
Oleh Norashikin Leman


Pelabuhan Klang: Keras kepala. Ia perkataan sesuai mengenai sikap pengusaha bot nelayan tempatan apabila terus menggajikan warga asing walaupun sudah banyak kali dikenakan tindakan.

Terbaru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan bot nelayan tempatan kelas C yang membawa satu tekong dan tiga awak-awak menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan di perairan Selangor pada jarak 21 batu nautika dari perairan Sekinchan, pagi semalam.

Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah Klang Kapten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, dalam kejadian jam 8 pagi, bot nelayan berkenaan ditahan kapal ronda APMM yang menjalankan Ops Satria, ketika itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia berusia 25 hingga 32 tahun berada dalam bot berkenaan.

“Hasil siasatan, tiga warga Indonesia berkenaan disyaki tidak mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di bot berkenaan serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot bersama warga asing itu ditahan dan dibawa ke jeti Daerah Maritim Klang untuk disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Mohd Rosli berkata, APMM akan terus menjalankan rondaan dan pemeriksaan membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut.

“Jika ada sebarang aduan atau kecemasan laut, kami berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 6:51 AM