WAN Ahmad (dua dari kiri) menunjukan senjata api yang dirampas.

Johor Bahru: Polis percaya lelaki ditahan bersama sepucuk pistol, selaras senapang patah dan peluru di Segamat, Jumaat lalu, mempunyai kaitan dengan dalang jenayah samun serta curi kenderaan di negeri ini dan Pahang.

Siasatan ke atas warga tempatan berumur 33 tahun itu menjurus kepada kemungkinan kaitannya dalam merancang jenayah samun dan melarikan kenderaan terutamanya lori di kedua-dua negeri terbabit.

Dalam kejadian jam 7.20 malam Jumaat lalu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menahan sebuah kereta Audi A3 yang dipandu seorang lelaki di Kilometer 9, Lebuhraya Segamat-Kuantan, Segamat.

Pemeriksaan ke atas kenderaan menemui sepucuk pistol .38 bersama 17 peluru hidup serta selaras senapang patah bersama 20 butir peluru penabur.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, siasatan ke atas kenderaan itu mendapati ia adalah kereta lupus dari Singapura yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau namun ujian saringan air kencing mendapati dia positif syabu.

“Suspek direman empat hari bermula semalam (kelmarin) dan siasatan dijalankan di mana suspek memperoleh senjata api serta tujuan pemilikannya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu, kejayaan rampasan itu mendapat pujian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Twitternya kelmarin.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan Ahmad berkata, polis menahan dua lelaki berusia 39 dan 48 tahun serta merampas selaras senapang patah buatan sendiri bersama enam peluru penabur selepas memeriksa sebuah Proton Iswara di Jalan Kempas Baru, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, suspek mengaku senjata itu digunakan untuk memburu dan semakan rekod mendapati mereka tidak mempunyai kesalahan lampau.

“Kedua-dua lelaki terbabit direman empat hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 7:41 AM