LOKASI mangsa kes bunuh di Taman Melawati, Ampang.

Ampang: Seorang wanita warga emas ditemui mati selepas dipercayai dipukul dan ditumbuk oleh penjenayah di rumahnya di Taman Melawati di sini, petang kelmarin.

Mangsa yang juga seorang janda, Saharah Sutan Muda,67, dijumpai oleh penyewa rumahnya jam 6.15 petang dalam keadaan berlumuran darah.

Adik mangsa, Nasarudin Sutan Muda, 64, berkata, kakaknya itu ada menghubunginya minggu lalu dan memintanya datang untuk melawat.

Menurutnya, kakaknya itu tidak mempunyai anak dan tinggal berseorangan selepas bercerai dengan suami 30 tahun lalu selain menyewakan bilik di rumahnya itu kepada kenalan.

Nasarudin berkata, dia kini menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat punca kejadian yang berlaku ke atas kakaknya.

“Saya diberitahu oleh penyewa bilik, kakak saya turut kehilangan dokumen peribadi, buku akaun bank dan beberapa barang peribadi.

“Saya percaya penjenayah yang melakukan tindakan kejam terhadap kakak saya adalah individu dikenalinya kerana tiada tanda rumahnya dipecah masuk,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Senior Asisten Komisioner Khairulddin Saad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif sebenar kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:46 AM