JURURAWAT bersama anggota APMM membawa Nur Zara Humairah untuk mendapatkan rawatan segera di IJN.

Kuala Lumpur: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berusaha menyelamatkan nyawa seorang bayi perempuan berusia empat bulan apabila melakukan penerbangan ihsan menggunakan helikopter semalam.

Bayi itu, Nur Zara Humairah yang menghidap sakit jantung berlubang diterbangkan dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu ke Institut Jantung Negara (IJN) jam 12.50 tengah hari semalam.

Misi penerbangan menggunakan helikopter model Agusta Westland AW139 selamat tiba di Padang Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengharungi perjalanan selama 90 minit.

Bapa bayi itu, Mohd Iftikhar Kamaruzaman, 25, berkata, anak sulungnya itu perlu menjalani pembedahan segera di IJN selepas menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.

Katanya, pemindahan terbabit perlu dilakukan memandangkan anaknya hanya bergantung kepada mesin pernafasan.

“Alhamdulillah, APMM dengan kerjasama pihak hospital membantu untuk membuat penerbangan ihsan.

“Saya juga turut bersyukur kerana helikopter mendarat dengan selamat walaupun hujan lebat ketika sampai di HKL,” katanya ketika ditemui.

Iftikhar berkata, isterinya, Nurhayati Mat Hussin, 25, bersama seorang doktor dan pembantu perubatan turut menaiki pesawat terbabit bagi mengendalikan peralatan perubatan anaknya sepanjang penerbangan.

Katanya, beliau berharap anaknya dapat menjalani kehidupan normal selepas menjalani pembedahan nanti.

“Kami sekeluarga sangat berterima kasih atas kerjasama semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan yang tidak terhingga ini,” katanya.

Sementara itu, juruterbang pesawat terbabit Kapten Wan Najib Wan Nor berkata penerbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial APMM terhadap masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:53 AM