ISMAIL   melawat  perkembangan  Pusat ICT MARA yang mula beroperasi esok.
ISMAIL melawat perkembangan Pusat ICT MARA yang mula beroperasi esok.
Oleh Hamizah Badiran


Kuala Lumpur: Pusat Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diilhamkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mula beroperasi esok di aras tiga Menara MARA, di sini.

Ismail Sabri berkata, pusat itu satu projek pembangunan komersial industri ICT apabila usahawan ICT Bumiputera yang berada dalam rantaian industri ini ditempatkan di dalam satu premis.

“Pusat ini adalah satu inisiatif MARA dalam usaha membangunkan usahawan, mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Dengan adanya infrastruktur fizikal yang disokong infrastruktur intelektual, saya yakin MARA berupaya untuk memastikan pusat ini berjaya,” katanya.

Pusat ICT ini akan menempatkan 39 usahawan Bumiputera yang menjalankan perniagaan ICT di samping turut membabitkan lima syarikat telekomunikasi iaitu Maxis, Celcom, DIGI, U-Mobile dan RedOne serta dua perkhidmatan penyedia rangkaian Internet, P1 Wimax dan [email protected].

Menurutnya, pusat ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada aktiviti perniagaan ICT masyarakat Bumiputera melalui penawaran barangan dan perkhidmatan digital di bawah satu bumbung.

“MARA juga akan mewujudkan pemborong, penyewa dan platform pemasaran serta menyediakan latihan keusahawanan berkaitan, kemudahan pembiayaan bagi tujuan pembangunan syarikat, membangunkan modul latihan kemahiran di dalam bidang teknologi peralatan dan perkakasan ICT.

“Di samping itu, MARA turut melaksanakan program pembangunan vendor dan rantaian nilai antara usahawan ICT ini bagi memastikan harga yang diperoleh usahawan adalah kompetetif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 7:48 AM