ANGGOTA bomba membawa turun jenazah Zaima melalui tingkap ditingkat satu sebuah premis perniagaan di Jalan Bayam, Kota Bharu.
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jenazah seorang wanita terpaksa diusung keluar menerusi tingkap sebelum disambut jentera bomba susulan laluan bertangga di sebuah rumah kedai di Jalan Bayam, di sini, agak sempit untuk dilalui, semalam.

Jenazah wanita terbabit dipercayai seberat 200 kilogram sebelum itu terperangkap di bahagian atas rumah kedai berkenaan dan sukar dibawa turun ahli keluarganya sejak pagi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Ismadi Mohamad Said berkata, pihaknya menerima panggilan daripada keluarga mangsa untuk membantu mengeluarkan jenazah terbabit pada jam 2.30 petang.

Katanya, mangsa, Zaima Abdullah, 37, dipercayai meninggal dunia sejak malam kelmarin berdasarkan kenyataan ahli keluarganya.

“Disebabkan sukar membawa jenazah turun melalui tangga premis itu yang hanya berkeluasan 1.2 meter, kami terpaksa mengusungnya keluar dari tingkap di tingkat satu bangunan itu.

“Sebuah jentera bomba menanti di luar tingkap dan anggota kami menyambut pengusung jenazah terbabit.

“Seramai 10 anggota bomba terbabit dalam misi ini dan mengambil masa sejam setengah untuk mengeluarkan jenazah dan memindahkannya ke dalam van jenazah untuk urusan pengebumian,” katanya, semalam.

Ismadi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa bahawa arwah menghidap kencing manis dan penyakit jantung.

“Keluarganya memberitahu arwah mahu tidur di rumah kedai mereka, semalam (kelmarin), dan enggan pulang ke rumah di Kampung Tikat, Jalan PCB, di sini, walaupun dipujuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 9:26 AM